HADITH MUSLIM

Thursday, November 25, 2010

Solat Qasar dan Jama

Solat Qasar

Takrifan
Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat  yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh  diqasarkan.

Hukum Qasar 
Harus berdasarkan kepada dalil berikut:
i.Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud;
“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika  kamu takut diserang oleh orang kafir…” 
ii. Al-Sunnah yang bermaksud;
‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin Al-Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan  kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah  kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah- Nya”  (Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud) 

Jarak Dibenarkan Qasar
Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin  mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.

Syarat Solat Qasar
i. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.
ii.Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer / 56 batu).
iii.Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
iv.Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna).
v.Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.

 Contoh niat solat qasar.
  أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا لله تعالى
 Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat Qasar kerana  Allah Taala

Solat Jama

Takrifan
Solat Jama’ terbahagi kepada :
Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.
Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’. 
Solat Jama’ Taqdim
i.Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.
ii.Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul  ihram.
iii.Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
iv.Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul  ihram solat yang kedua.
v.Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur  atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang  kedua (Asar atau Isya’). 
Solat Jama’ Ta’khir
i.Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu  Zuhur atau Maghrib.
ii.Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi  salam solat yang kedua.  
Contoh Niat
Jama’ Taqdim Empat Rakaat
 أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
      Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan  kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala

Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
   Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala

Jama’ Ta’khir
i.Jama’ Ta’khir Empat Rakaat
 أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى 
   Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala

ii.  Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala




Sumber  : http://www.e-solat.gov.my/

0 comments:

Post a Comment

Followers